Isnin, April 18, 2022

042 KAKI LONGLAI

 Aku nak cerita 3 tempat paling mencemaskan ketika aku touring melawan banjaran Titiwangsa. 

Pertamanya,18 km dari pekan Grik menuju Banding, laluannya jauh mendaki. Cuaca  ketika itu panas merelit 37 darjah celcius dan jam menunjukkan 12.00 tengahari. 

Redup pepohon semua sebelah kanan jalan, tiada yang berpihak kepada yang menuju ke Timur. Dalam bahang itu, aku rindukan bayang-bayang pokok untuk berteduh. 

Alat pengesan detak jantung aku mula berbunyi teet teet teet menandakan Ultraman sudah lemah untuk bergasak dengan raksasa bukit. Lutut aku sakit, peha aku perit dan tangan aku mula kebas. Bibir aku luka merekah dek sengat terik mentari. 

Tidak tertahan lagi sengsaranya, lantas aku tekan brek. Aku sandarkan basikal ke penghadang jalan dan lari melintas ke seberang untuk berteduh. Masa aku lari, kaki aku rasa lembik macam getah. Risau juga kalau-kalau rebah atas jalan dan disambar lori ayam. Tapi aku selamat melintas. 

Setibanya di seberang terus aku turun masuk dalam longkang berbentuk V. Elok-elok ergonomic longkang untuk orang bonk merebahkan diri. 

10 m ke atas kelihatan pelonton hadapan, mereka pun bersandar dalam longkang yang sama. 

Aku curah air atas kepala. Pok Jeng bagi kurma untuk dimasukkan dalam baki air dan diminum. 45 minit jugalah kami di situ untuk memulihkan tenaga. Bila detak jantung aku sudah tenang, baru kami boleh teruskan perjalanan. 

Itulah bonk paling dahsyat dalam sejarah berbasikal aku. 

Lokasi kedua yang mencemaskan adalah 3.4 km dari tempat rehat puncak Titiwangsa. Kami sedang menuruni cerun membelah kabus sambil menikmati dingin angin pagi.  Tiba-tiba, dihadapan kelihatan Parktoy dan Azrul memberi isyarat untuk aku melintas ke seberang jalan. Budak berdua ini suka ambil video, aku pun akur dengan isyarat mereka. Aku fikir mereka perlukan model untuk latar depan sebuah pemandangan gunung.

Azrul tunjuk ke atas lereng bukit di sebalik belukar. Ada seekor gajah dengan badan sebesar pajero 3.2 SUV terpakai. Ia berdiri lebih kurang 10 meter dari jalan. Akak Kau berada paling dekat dan bertentang mata dengan binatang itu. Ia bertrumpet dan menghayunkan belalainya.

Akak Kau terus dilema sama ada mahu berhenti seperti nasihat papan tanda, "Berhenti jika melihat gajah melintas, "  tetapi gajah ini tidak melintas. Tiada pula nasihat apa nak buat jika lihat gajah di lereng. Yani melaju kayuh sebelah Akak Kau sambil menyeru nasihat, "Kayuh kak! Kayuh kak!"

Akak kau kayuh ligat tapi tak gerak laju pun. Dia masih di gear ringan. Namun begitu, terlepas juga dia dari zon bahaya. Tercungap-cungap dia panik tadi. "Sabar kak, tarik nafas," nasihat Jai.

Itulah kali pertama aku lihat gajah liar di habitatnya. Masih terbayang ia berpaling dan bontotnya perlahan hilang masuk ke dalam hutan yang lebih tebal. 

Lokasi ketiga yang mencemaskan adalah setibanya di rumah. Oh Tuhan! 2 kg mat! Berat badan aku naik 2 kg kata penimbang.

(Editor: Anywayyyy, air paling sedap adalah Teh Ganja di Pitstop A76 Lenggong dan makanan paling sedap, Roti Canai warung Selera Depan Kubur Kg Panglima Bayu-Rantau Panjang. Slogan Warung Selera Depan Kubur- Rumah kata pergi, kubur kata mari.)

8/2/22



Tiada ulasan:

73 SUNGAI TELOR

  Peta Kayuhan Rakan-rakan di Strava. Kayuhan Ria Sungai Telor menawarkan yuran masuk RM10 untuk denai 20 km. Di kala yuran kayuhan lain rat...