Isnin, April 26, 2010

RAHSIA KAPTEN MALAM


Pagi ini Syafizan membuat kerja di makmal sambil bersiul-siul gembira. Sedang Syafizan mengelap balang berisi spesimen obor-obor berbisa, dia terdengar pintu makmal toksik dihempas. Syafizan menoleh ke arah pintu. Pakciknya, Dr. Azalan, melangkah masuk sambil menjinjing beg kotak aluminium. Dr. Azalan lewat 45 minit pagi ini.

Dr. Azalan berhenti di depan pintu. Dia menoleh ke arah Syafizan.

"Syafizan, mari sini."
"Baik Doktor."

Kalau ditempat kerja, memang Syafizan panggil Dr. Azalan sebagai doktor. Tidak professionallah kalau dia  memanggil bosnya Pak Long.

Syafizan duduk mengadap Dr. Azalan di meja. Dr. Azalan macam tidak bermaya. Mata putihnya kelihatan merah dan kulit sekeliling mata itu jelas lebam. Bibirnya pula kering dan pecah. Sah, malam tadi bukan malam biasa bagi Dr. Azalan. Suaranya lemah. Lemah sangat.

"Saya anggap awak macam anak saya sendiri. Awaklah orang yang paling saya percayai."
"Saya pun anggap Doktor macam ayah saya sendiri. Banyak saya terhutang budi dengan Doktor."
"Saya ada rahsia mahu beritahu kepada awak."
"Ya, Doktor?"
"Saya adalah sang adiwira, Kapten Malam."
"Biar betul ni. Jangan gurau camtu dengan saya Doktor."

Muka Dr. Azalan terus serius. Tiada tanda-tanda dia sedang bergurau. Dari lubang hidungnya darah mula mengalir. Percakapan mula bertambah perlahan.

"Syafizan. Saya ada rahsia lagi mahu beritahu awak. Saya akan mati bila-bila masa sahaja. Saya telah disuntik dengan racun TOX-24."
"Apa yang doktor kata ni?"
"Malam tadi saya bertempur dengan Ninja Kobra, saintis gila bertopeng yang membuat eksperimen secara rawak ke atas orang-orang awam yang ditemuinya."
"Astaga! Doktor tiada penawar untuk TOX-24?"
"Saya cuma ada rumusannya tetapi penawarnya belum siap lagi. Saya akan mati Syafizan."
"Tapi..."
"Awak tidak perlu cakap apa lagi. Dengar sahaja. Dalam beg ini ada kostum Kapten Malam. Saya wariskan kepada awak. Awaklah harapan kepada kesinambungan perjuangan Kapten Ma..."

Dr. Azalan menghembuskan nafasnya yang terakhir. Dia mati dalam keadaan duduk dengan kepalanya terbaring atas beg aluminium berisi kostum Kapten Malam. Darah keluar dari hidungnya, mulutnya, matanya dan liang-liang kecil lain di tubuhnya. Itulah penangan bisa TOX-24.  Syafizan duduk terpegun. Perlahan-lahan airmatanya berlinangan. Mentor yang dia sayang telah pergi.

Sebagai Ninja Kobra, Syafizan pernah beberapa kali bertempur dengan Kapten Malam. Selalunya dia kalah dan melarikan diri kerana Kapten Malam adalah pakar dalam ilmu pertahanan diri. Malam tadi, Kapten Malam terpijak tompokan minyak lantas tergelincir. Kesempatan itu digunakan untuk mencucuk Kapten Malam dengan TOX-24. Syafizan langsung tidak menyangka bahawa musuh ketatnya adalah Dr. Azalan, Pak Longnya sendiri. Semoga rohnya dicucuri rahmat.


......
P.S.
Tiada kena mengena dengan Kick-Ass (2010). Aku lebih terinspirasi dengan Unbreakable (2000) dan Watchmen (2009).



LAWATAN SAMBIL BELAJAR
The Psychology of Superheroes: An Unauthorized Exploration (Psychology of Popular Culture series) 
Superheroes and Philosophy: Truth, Justice, and the Socratic Way (Popular Culture and Philosophy) 

3 ulasan:

Sue Anna Joe berkata...

Moral of the story: Jangan suka hati nak cucuk orang dengan TOX-24.

u l t r a b a e berkata...

menarik la..

ayobkelubi berkata...

damn!..nice plot for hero like movie..

saya belum tgk lagi KICK ASS tapi UNBREAKABLE dgn WATCHMEN mmg KICK ASS!!..

72 RANCANGAN B

Ketika berkayuh dalam hutan setiap gram memainkan peranan melambatkan perjalanan. Semuanya mesti minimal dan ringan. Kami sudah pun menempah...